Menunaikan haji adalah rukun Islam yang kelima. Pergi ke sana bermaksud kita menyahut panggilan Allah SWT, yang telah dilaungkan oleh nabi-nabi terdahulu seperti Adam dan Ibrahim. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 27:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya, ayat ini merujuk kepada arahan Allah kepada nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang ke tanah suci itu untuk menunaikan haji bagi menyahut seruan Allah. Nabi Ibrahim terpinga-pinga, dan tertanya-tanya bagaimanakah mampu baginda memanggil manusia datang sedangkan bumi tersebut pada waktu itu adalah bumi yang kering-kontang tanpa berpenghuni.
Allah menjawab, "Engkau serulah, dan biarkan Kami yang menyampaikan seruan tersebut."
Lantas nabi Ibrahim pun berdiri di tempat yang tinggi, dan menyeru sekuat-kuatnya, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menyediakan rumah ibadah untuk kamu, maka tunaikanlah haji ke sini."
Menurut riwayat, bukit-bukau dan gunung-ganang tunduk ketika seruan itu dibuat, sehingga ianya didengar ke seluruh alam. Akhirnya manusia sehinggalah ke hari ini, berduyun-duyun datang ke Makkah setiap musim haji, menyahut seruan Allah melalui nabi Ibrahim, dengan berkata Labbaikallahumma Labbaik.... kami datang wahai Tuhan, kami datang menyahut seruanmu.
Sewajarnya zikir talbiah itu perlu dilaungkan dengan rasa kerdil, insaf dan bersyukur, kerana Allah memilih kita untuk menjadi mereka yang menyahut seruannya itu. Subhanallah.... mustahil manusia yang jernih hatinya tidak rasa tersentuh ketika membaca talbiah ini.
Menunaikan haji juga membawa maksud kita menziarahi rumah ibadat pertama yang telah dibina oleh nabi Adam mengikut beberapa riwayat yang telah dilaporkan oleh Imam al-Tabari di dalam tafsirnya. Ahli sejarah menyatakan yang Ka'bah telah roboh antara 5 hingga 12 kali akibat banjir dan faktor lain. Nabi Muhammad merupakan nabi terakhir yang turut terlibat di dalam pembangunan semula Ka'bah.
Rukun dan wajib haji adalah simbolik siaran ulangan terhadap nilai sebuah pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail terhadap arahan Allah. Melaksanakannya memerlukan pengorbanan serta ketabahan mental dan fizikal. Pengorbanan itu falsafahnya ialah sebagai neraca keIslaman kita.Lagi tinggi pengorbanan, lagi tinggi nilai Islam kita di sisi Allah. Dengan sebab itulah apabila Allah menceritakan kesanggupan nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail melakukan pengorbanan besar di dalam hidup anak-beranak, maka Allah menggunakan perkataan Aslama di dalamnya, yang daripadanya lahirlah perkataan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Soffat ayat 103:
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami).
Menunaikan Haji Di Waktu Muda
Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menunaikan haji di waktu muda kerana kemurahan hati arwah ayah saya menanggung perbelanjaan haji semasa saya menuntut di Mesir dahulu. Tetapi dalam masa yang sama masih rasa terkilan kerana kesibukan duniawi masih menghambat tanggungjawab saya membawa isteri pergi ke sana. Bilalah agaknya saya boleh berasa kepuasan pergi ke sana dengan pendapatan tangan sendiri serta membawa isteri yang merupakan amanah Allah kepada diri saya.
Saya masih ingat, semasa menunaikan haji dulu, ada perbezaan yang ketara antara jemaah haji Malaysia dengan jemaah haji Indonesia, Turki, Iran dan Pakistan, sekadar memberikan beberapa contoh negara. Majoriti jemaah haji Malaysia agak ketara terdiri daripada pakcik makcik yang sudah berusia tua, melebihi usia pencen, bahkan ada yang sudah berbongkok tiga. Banyak ritual haji yang terpaksa diwakilkan kepada orang lain seperti melontar, sa'ie dan tawaf, lalu tidaklah merasa akan kepuasan atau tepatnya kelazatan membuat haji.
Ringkasnya, jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang paling beruntung di dunia kerana mempunyai sistem pengurusan ibadah agung tersebut melalui Lembaga Tabung Haji. Dengan tidak sampai RM10,000, anda boleh berada selama 40 hari di tanah haram, lengkap dengan hidangan makanan yang banyak, penginapan yang terletak beratus-ratus meter sahaja daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabi, serta pemandu (mutawwif) haji yang berpengalaman. Anda hanya perlu bayar dengan harga yang murah untuk 'pelancongan' 40 hari, pergi dan mengikut orang sahaja. Itu pun, majoriti yang pergi adalah warga emas.
Berbanding dengan jemaah haji dari Indonesia, dengan pendapatan mereka yang kurang berbanding Malaysia, mereka lebih melihat faktor kemampuan fizikal itu sebagai keutamaan untuk pergi menunaikan haji. Lalu ramai rakyat mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, muda gagah perkasa mengharungi cabaran menunaikan rukun Islam kelima itu. Pakej paling murah untuk mereka menunaikan haji ialah RM15,000. Harga itu tidak termasuk makanan, dan penginapan yang disediakan letaknya lebih kurang 7 kilometer dari Masjidil Haram! Banyak urusan perlu dibuat sendiri.
Bila ditanya bagaimana mereka mampu menyediakan wang sebanyak RM15,000 itu; jumlah yang amat besar di Indonesia, mereka menjawab bahawa ada antara insitusi kewangan di negara itu yang menyediakan pakej bayaran ansuran, atau pinjaman tanpa faedah untuk pakej haji. Ulamak berselisih pandangan terhadap bayaran haji secara ansuran, kebanyakan yang saya baca menyatakan tiada nas larangan. Akan tetapi jumhur ulamak menyatakan orang yang tidak berduit (termasuklah pada pandangan saya mereka yang tidak layak untuk pakej ansuran seperti di Indonesia) sehingga terpaksa berhutang, tidak termasuk daripada golongan yang wajib membuat haji. Akan tetapi sekiranya mereka berhutang juga dengan lunas syara', kewajiban membuat haji ketika mampu akan dianggap sudah terlunas.
Dibenarkan Berlengah Membuat Haji Ketika Mampu, Tetapi Perlu Bersegera Mencari Mampu
Di dalam kitab fiqh, ada perbahasan ulamak mengenai kewajiban membuat haji, adakah ianya perlu disegerakan atau boleh dilambat-lambatkan. Saya ringkaskan pandangan ulamak seperti berikut:
1. Ibn Qudamah daripada Mazhab Hanbali, Imam Malik, Mazhab Zaidiyyah dan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah menyatakan yang haji wajib ditunaikan segera bagi yang mampu. Sekiranya dilewat-lewatkan, maka luputlah pahalanya walaupun terlepas kewajibannya. Hujjah pandangan ini adalah berdasarkan sepotong hadith Abu Daud yang disahihkan oleh Al-Hakim dan al-Zahabi:ل
"Barangsiapa yang ingin membuat haji, maka bersegeralah."
Hadith di atas menggunakan kata perintah, dan kata perintah membawa maksud perlu bersegera ketika sudah mampu untuk menunaikan haji.
2. Imam al-Shafi'e pula berpandangan yang apabila seseorang itu sudah mampu, dibenarkan dia untuk berlengah atau tidak bersegera melakukannya pada tahun dia mencapai kemampuan tersebut. Pandangan ini adalah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah yang hanya menunaikan haji pada tahun ke-10 hijrah, walaupun baginda dan sahabat-sahabat lain sudah mampu berbuat demikian mulai tahun kelapan hijrah lagi.
3. Adapun pandangan jumhur mazhab Hanafi menyatakan yang semua hujjah berkaitan isu ini, mempunyai hukum galakan bersegera dan dalam masa yang sama turut membenarkan berlengah-berlengah ketika mampu membuat haji, akan tetapi mereka cenderung menyatakan adalah lebih baik dan selamat untuk melaksanakannya dalam kadar yang segera.
Khilaf ini walau bagaimanapun, selalu dimanipulasi sebahagian Muslim. Perlu diperjelaskan yang memang ulamak berbeza pandangan terhadap hukum wajibkah bersegera atau boleh berlengah membuat haji ketika mampu. Akan tetapi semua mereka bersepakat yang mencari kemampuan untuk menunaikan haji adalah sesuatu yang dituntut, kerana Allah mewajibkan kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, dan haji adalah antara kebaikan yang besar dalam kehidupan manusia. Kemampuan membuat haji perlu dicari, bukan ditunggu.
Salah faham ini menyebabkan sebahagian Muslim melengah-lengahkan usaha mencari kemampuan untuk melaksanakan haji, atau menggunakan kemampuan harta dan sihat yang sedia ada ke tempat lain. Maka tidak hairanlah segelintir umat Islam lebih dahulu sampai ke tempat-tempat suci agama lain berbanding ke tempat suci agama sendiri kerana tidak nampak kepentingan perlu bersegera membuat haji ini. Golongan ini sebenarnya terlalai dengan dunia, tidak sedar yang dunia yang Allah pinjamkan kepada mereka perlu diperuntukkan sebahagiannya untuk tambang haji.
Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana urusan ibadah kita sering dipermudahkan. Dalam konteks ibadah haji, kita mempunyai Lembaga Tabung Haji yang menguruskan ibadah haji kita dengan harga yang amat-amat murah. Cuti membuat haji pun biasanya diberikan dengan gaji penuh. Sekiranya kita mempunyai simpanan sebanyak RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji, maka kita boleh mendaftar untuk membuat haji.
Ada rakan yang memaklumkan giliran terhampir sekiranya mendaftar pada tahun ini (2009), ialah pada tahun 2027; kebiasaannya akan diawalkan. Renungilah, berapa agaknya usia kita semasa itu. Atau, adakah Allah masih mengizinkan kita menghirup nafas lagi pada waktu tersebut. Mendaftar itu tanda niat kita. Sekiranya ditarik nyawa kita sebelum kita naik haji, dalam keadaan tiada siapa boleh mengganti haji kita, sekurang-kurangnya ada jawapan yang boleh diberikan di hadapan mahkamah akhirat kelak.
Saya benar-benar mencadangkan kepada ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak menyimpan di dalam Tabung Haji sejak kecil lagi. Bagi mahasiswa, terutamanya yang ditaja di luar negara, merancanglah simpanan untuk menunaikan haji. Bagi graduan yang baru masuk alam pekerjaan, jangan terlalu ghairah membelanjakan wang besar untuk membeli simbol kekayaan dan kestabilan, sehingga terlupa menyediakan kemampuan untuk membuat haji.
Adalah cantik sekiranya pasangan yang baru berkahwin, terus menunaikan haji ketika mereka belum mendapat anak lagi. Dan bagi mereka yang masih lalai untuk menyediakan kemampuan membuat haji, jangan lengah-lengah lagi. Marilah menukar budaya membuat haji semasa di usia senja, kepada membuat haji di usia muda. Kesan daripada budaya pergi haji di usia tua itu ialah, ramai yang bersedih apabila menghantar saudaranya menunaikan haji, antaranya kerana merasakan itulah perjalanan terakhir mereka di muka bumi dan bimbang tidak akan berjumpa lagi. Sedangkan kita membuat haji, adalah untuk memenuhi tuntutan Ilahi, bukannya nak pergi mati.
Merancanglah sekarang sementara hayat dikandung badan.