"imanismutiara" adalah sebuah blog non-commercial. Tiada Iklan. Blog ini diwujudkan untuk berdakwah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Promosi dan iklankanlah "imanismutiara" di blog anda atau di mana sahaja dengan niat untuk berdakwah. Terima Kasih.

Thursday, April 28, 2011

Hukum Kencing Sambil Berdiri


Kencing Berdiri, Alat Kencing Berdiri, Hukum Kencing Berdiri
Assalamualaikum geng blog hijau. Apa hukum kencing sambil berdiri ek?, jawapannya: Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri.

Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :
“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.”

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.

Saturday, January 22, 2011

Dialog Krew imanismutiara - Cerita Arnab dan Kura-Kura


بسم الله الرحمن الرحيم
110122-rabbit and tortoise
Berikut ialah pelajaran yang telah saya perolehi semasa sessi Dailog Krew imanismutiara.blogspot.com tempohari. Moga semua mendapat menafaat dari pekongsian ini ...

Dalam usaha untuk berubah, ubah dahulu cara pandang kita terhadap sesuatu. Kerana cara pandang amat mempengaruhi tindakan kita dan memberi kesan kepada bagaimana orang lain respon kepada kita. (Perlaksanaan Hukum Getaran & Tarikan)

Laksanakan eksprimen dengan diri sendiri semenjak dari usia muda lagi agar kita belajar dari pengalaman eksperimen itu dan bukan untuk mencari salah hasil daripada eksperimen itu tadi. Salah satu cara pandang yang amat penting.
Apa makna Teknologi? – "Technology is a process by which human modify nature to meet their needs and wants". Fikirkan ...

Kita mahu agar pelanggan kita boleh Melihat-Merasai-Mengalami (See-Feel-Experience) perkhidmatan/produk organisasi kita. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai jenama (brand) perkhidmatan/produk organisasi kita. Penjenamaan (rebranding) bermaksud segala usaha untuk menaiktaraf jenama perkhidmatan/produk kita.
Dalam mempromosi sebarang perkhidmatan/produk kita, beri perhatian terhadap 3 perkara ini; semua manusia takut rugi, semua manusia mahu untung dan semua manusia mahu selamat. Jika promosi anda menjawab 3 perkara ini, pasti perkhidmatan/produk anda akan mendapat sambutan!
Kadangkala, dalam keghairahan kita untuk menjadi praktikal dalam melaksana segala usaha, kita lupa memberi perhatian kepada 'nilai' kehidupan seperti integiriti, prihatin dan lain-lain lagi. Semak usaha kita samada kita terjerumus ke dalam fenomena ini!
Bila bercakap mengenai 'circle of influence' dan 'circle of concern', penting sangat kita melaksanakan CHECK dalam kitaran PLAN-DO-CHECK-ACTION bagi sebarang inisiatif kita kerana kegagalan melaksanakan CHECK akan membuatkan orang hanya membicarakan perkara-perkara yang berada diluar bidang kuasa mereka sahaja. ('circle of concern')
Saya suka dengan satu kenyataan yang tertulis pada baju salah seorang peserta dialog ini yang berbunyi, 'Leaders define Reality'. Memang benar, dengan kuasa yang ada pada para pemimpin, mereka sepatutnya menggunakan kuasa di dalam tangan mereka untuk mempengaruhi mereka yang dipimpin untuk mencapai hasil yang diingini.

Cerita Kura-Kura dan Arnab Part 2. Selepas kura-kura dikalahkan dalam pertandingan cerita Kura-Kura dan Arnab Part 1, arnab telah meminta kura-kura untuk bertanding sekali lagi dan kura-kura menyetujuinya. Dalam pertandingan kali kedua ini, arnab berjaya mengalahkan kura-kura setelah arnab berlumba secara 'consistence & fast'. Pelajaran dari cerita Part 2 ini ialah pada ketika ini, 'consistence & fast' adalah lebih baik dari 'slow and steady'.
Dalam Cerita Kura-Kura dan Arnab Part 3 pula, selepas kura-kura dikalahkan dalam cerita Part 2, kura-kura tidak berpuas hati dan lantas meminta arnab untuk mengadakan perlumbaan sekali lagi. Namun kali ini, kura-kura telah meminta 'route' perlumbaan itu ditentukan oleh dirinya. Tanpa usul periksa, arnab menyetujui kehendak kura-kura itu. Perlumbaan dimulakan dan arnab terus meninggalkan kura-kura jauh dibelakang. Bila hampir ke garis penamat, arnab tersedar bahawa beliau mesti berenang menyeberangi sebatang sungai. Puas arnab berusaha untuk menyeberanginya namun dia tetap gagal. Tak lama kemudian, kura-kura sampai lalu menyeberangi sungai dengan mudah dan memenangi perlumbaan tersebut. Pelajaran dari cerita part 3 ini ialah kita mesti gunakan segala kelebihan dan kekuatan yang ada di tangan kita untuk mengharungi cabaran hidup.

Pelajaran dari iklim empat musim. Pertama, setiap kali datang musim baru, manusia yang hidup di iklim empat musim ini mesti menyesuaikan diri dengan perubahan musim itu agar terus selamat dalam hidup ini. Kedua, secara langsung maupun tak langsung, iklim ini menyediakan satu bentuk tekanan agar manusia itu tidak mudah leka dalam hidup ini. Ketiga, iklim empat musim juga memerlukan manusia sentiasa bersedia menghadapi perubahan musim ini. Cerita mengenai iklim empat musim ini sebenarnya merupakan satu perumpamaan bagaimana menghadapi perubahan dalam hidup ini.
Kehidupan ini punya nyawa! Adakah anda ingin mengambil nyawa anda dengan mempersiakan hidup anda?

Sesuai dengan maksud satu Hadis Nabi, orang yang bertaqwa kepada Tuhan adalah mereka yang begitu berhati-hati dalam hidup ini.umpama mereka yang berjalan di atas duri-duri. Agar anda tidak terpijak 'duri kehidupan' ini, apa kata anda labur dalam PPB3K. Hidup anda akan menjadi Sejahtera-Bahagia-Kaya!

Ibadah Haji : Pesanan Untuk Orang Muda


alt
Menunaikan haji adalah rukun Islam yang kelima. Pergi ke sana bermaksud kita menyahut panggilan Allah SWT, yang telah dilaungkan oleh nabi-nabi terdahulu seperti Adam dan Ibrahim. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 27:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya, ayat ini merujuk kepada arahan Allah kepada nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang ke tanah suci itu untuk menunaikan haji bagi menyahut seruan Allah. Nabi Ibrahim terpinga-pinga, dan tertanya-tanya bagaimanakah mampu baginda memanggil manusia datang sedangkan bumi tersebut pada waktu itu adalah bumi yang kering-kontang tanpa berpenghuni.
Allah menjawab, "Engkau serulah, dan biarkan Kami yang menyampaikan seruan tersebut."
Lantas nabi Ibrahim pun berdiri di tempat yang tinggi, dan menyeru sekuat-kuatnya, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menyediakan rumah ibadah untuk kamu, maka tunaikanlah haji ke sini."
Menurut riwayat, bukit-bukau dan gunung-ganang tunduk ketika seruan itu dibuat, sehingga ianya didengar ke seluruh alam. Akhirnya manusia sehinggalah ke hari ini, berduyun-duyun datang ke Makkah setiap musim haji, menyahut seruan Allah melalui nabi Ibrahim, dengan berkata Labbaikallahumma Labbaik.... kami datang wahai Tuhan, kami datang menyahut seruanmu.
Sewajarnya zikir talbiah itu perlu dilaungkan dengan rasa kerdil, insaf dan bersyukur, kerana Allah memilih kita untuk menjadi mereka yang menyahut seruannya itu. Subhanallah.... mustahil manusia yang jernih hatinya tidak rasa tersentuh ketika membaca talbiah ini.
Menunaikan haji juga membawa maksud kita menziarahi rumah ibadat pertama yang telah dibina oleh nabi Adam mengikut beberapa riwayat yang telah dilaporkan oleh Imam al-Tabari di dalam tafsirnya. Ahli sejarah menyatakan yang Ka'bah telah roboh antara 5 hingga 12 kali akibat banjir dan faktor lain. Nabi Muhammad merupakan nabi terakhir yang turut terlibat di dalam pembangunan semula Ka'bah.
Rukun dan wajib haji adalah simbolik siaran ulangan terhadap nilai sebuah pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail terhadap arahan Allah. Melaksanakannya memerlukan pengorbanan serta ketabahan mental dan fizikal. Pengorbanan itu falsafahnya ialah sebagai neraca keIslaman kita.Lagi tinggi pengorbanan, lagi tinggi nilai Islam kita di sisi Allah. Dengan sebab itulah apabila Allah menceritakan kesanggupan nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail melakukan pengorbanan besar di dalam hidup anak-beranak, maka Allah menggunakan perkataan Aslama di dalamnya, yang daripadanya lahirlah perkataan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Soffat ayat 103:
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami).
Menunaikan Haji Di Waktu Muda
Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menunaikan haji di waktu muda kerana kemurahan hati arwah ayah saya menanggung perbelanjaan haji semasa saya menuntut di Mesir dahulu. Tetapi dalam masa yang sama masih rasa terkilan kerana kesibukan duniawi masih menghambat tanggungjawab saya membawa isteri pergi ke sana. Bilalah agaknya saya boleh berasa kepuasan pergi ke sana dengan pendapatan tangan sendiri serta membawa isteri yang merupakan amanah Allah kepada diri saya.
Saya masih ingat, semasa menunaikan haji dulu, ada perbezaan yang ketara antara jemaah haji Malaysia dengan jemaah haji Indonesia, Turki, Iran dan Pakistan, sekadar memberikan beberapa contoh negara. Majoriti jemaah haji Malaysia agak ketara terdiri daripada pakcik makcik yang sudah berusia tua, melebihi usia pencen, bahkan ada yang sudah berbongkok tiga. Banyak ritual haji yang terpaksa diwakilkan kepada orang lain seperti melontar, sa'ie dan tawaf, lalu tidaklah merasa akan kepuasan atau tepatnya kelazatan membuat haji.
Ringkasnya, jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang paling beruntung di dunia kerana mempunyai sistem pengurusan ibadah agung tersebut melalui Lembaga Tabung Haji. Dengan tidak sampai RM10,000, anda boleh berada selama 40 hari di tanah haram, lengkap dengan hidangan makanan yang banyak, penginapan yang terletak beratus-ratus meter sahaja daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabi, serta pemandu (mutawwif) haji yang berpengalaman. Anda hanya perlu bayar dengan harga yang murah untuk 'pelancongan' 40 hari, pergi dan mengikut orang sahaja. Itu pun, majoriti yang pergi adalah warga emas.
Berbanding dengan jemaah haji dari Indonesia, dengan pendapatan mereka yang kurang berbanding Malaysia, mereka lebih melihat faktor kemampuan fizikal itu sebagai keutamaan untuk pergi menunaikan haji. Lalu ramai rakyat mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, muda gagah perkasa mengharungi cabaran menunaikan rukun Islam kelima itu. Pakej paling murah untuk mereka menunaikan haji ialah RM15,000. Harga itu tidak termasuk makanan, dan penginapan yang disediakan letaknya lebih kurang 7 kilometer dari Masjidil Haram! Banyak urusan perlu dibuat sendiri.
Bila ditanya bagaimana mereka mampu menyediakan wang sebanyak RM15,000 itu; jumlah yang amat besar di Indonesia, mereka menjawab bahawa ada antara insitusi kewangan di negara itu yang menyediakan pakej bayaran ansuran, atau pinjaman tanpa faedah untuk pakej haji. Ulamak berselisih pandangan terhadap bayaran haji secara ansuran, kebanyakan yang saya baca menyatakan tiada nas larangan. Akan tetapi jumhur ulamak menyatakan orang yang tidak berduit (termasuklah pada pandangan saya mereka yang tidak layak untuk pakej ansuran seperti di Indonesia) sehingga terpaksa berhutang, tidak termasuk daripada golongan yang wajib membuat haji. Akan tetapi sekiranya mereka berhutang juga dengan lunas syara', kewajiban membuat haji ketika mampu akan dianggap sudah terlunas.
Dibenarkan Berlengah Membuat Haji Ketika Mampu, Tetapi Perlu Bersegera Mencari Mampu
Di dalam kitab fiqh, ada perbahasan ulamak mengenai kewajiban membuat haji, adakah ianya perlu disegerakan atau boleh dilambat-lambatkan. Saya ringkaskan pandangan ulamak seperti berikut:
1. Ibn Qudamah daripada Mazhab Hanbali, Imam Malik, Mazhab Zaidiyyah dan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah menyatakan yang haji wajib ditunaikan segera bagi yang mampu. Sekiranya dilewat-lewatkan, maka luputlah pahalanya walaupun terlepas kewajibannya. Hujjah pandangan ini adalah berdasarkan sepotong hadith Abu Daud yang disahihkan oleh Al-Hakim dan al-Zahabi:ل
"Barangsiapa yang ingin membuat haji, maka bersegeralah."
Hadith di atas menggunakan kata perintah, dan kata perintah membawa maksud perlu bersegera ketika sudah mampu untuk menunaikan haji.
2. Imam al-Shafi'e pula berpandangan yang apabila seseorang itu sudah mampu, dibenarkan dia untuk berlengah atau tidak bersegera melakukannya pada tahun dia mencapai kemampuan tersebut. Pandangan ini adalah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah yang hanya menunaikan haji pada tahun ke-10 hijrah, walaupun baginda dan sahabat-sahabat lain sudah mampu berbuat demikian mulai tahun kelapan hijrah lagi.
3. Adapun pandangan jumhur mazhab Hanafi menyatakan yang semua hujjah berkaitan isu ini, mempunyai hukum galakan bersegera dan dalam masa yang sama turut membenarkan berlengah-berlengah ketika mampu membuat haji, akan tetapi mereka cenderung menyatakan adalah lebih baik dan selamat untuk melaksanakannya dalam kadar yang segera.
Khilaf ini walau bagaimanapun, selalu dimanipulasi sebahagian Muslim. Perlu diperjelaskan yang memang ulamak berbeza pandangan terhadap hukum wajibkah bersegera atau boleh berlengah membuat haji ketika mampu. Akan tetapi semua mereka bersepakat yang mencari kemampuan untuk menunaikan haji adalah sesuatu yang dituntut, kerana Allah mewajibkan kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, dan haji adalah antara kebaikan yang besar dalam kehidupan manusia. Kemampuan membuat haji perlu dicari, bukan ditunggu.
Salah faham ini menyebabkan sebahagian Muslim melengah-lengahkan usaha mencari kemampuan untuk melaksanakan haji, atau menggunakan kemampuan harta dan sihat yang sedia ada ke tempat lain. Maka tidak hairanlah segelintir umat Islam lebih dahulu sampai ke tempat-tempat suci agama lain berbanding ke tempat suci agama sendiri kerana tidak nampak kepentingan perlu bersegera membuat haji ini. Golongan ini sebenarnya terlalai dengan dunia, tidak sedar yang dunia yang Allah pinjamkan kepada mereka perlu diperuntukkan sebahagiannya untuk tambang haji.
Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana urusan ibadah kita sering dipermudahkan. Dalam konteks ibadah haji, kita mempunyai Lembaga Tabung Haji yang menguruskan ibadah haji kita dengan harga yang amat-amat murah. Cuti membuat haji pun biasanya diberikan dengan gaji penuh. Sekiranya kita mempunyai simpanan sebanyak RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji, maka kita boleh mendaftar untuk membuat haji.
Ada rakan yang memaklumkan giliran terhampir sekiranya mendaftar pada tahun ini (2009), ialah pada tahun 2027; kebiasaannya akan diawalkan.  Renungilah, berapa agaknya usia kita semasa itu. Atau, adakah Allah masih mengizinkan kita menghirup nafas lagi pada waktu tersebut.  Mendaftar itu tanda niat kita. Sekiranya ditarik nyawa kita sebelum kita naik haji, dalam keadaan tiada siapa boleh mengganti haji kita, sekurang-kurangnya ada jawapan yang boleh diberikan di hadapan mahkamah akhirat kelak.
Saya benar-benar mencadangkan kepada ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak menyimpan di dalam Tabung Haji sejak kecil lagi. Bagi mahasiswa, terutamanya yang ditaja di luar negara, merancanglah simpanan untuk menunaikan haji. Bagi graduan yang baru masuk alam pekerjaan, jangan terlalu ghairah membelanjakan wang besar untuk membeli simbol kekayaan dan kestabilan, sehingga terlupa menyediakan kemampuan untuk membuat haji.
Adalah cantik sekiranya pasangan yang baru berkahwin, terus menunaikan haji ketika mereka belum mendapat anak lagi. Dan bagi mereka yang masih lalai untuk menyediakan kemampuan membuat haji, jangan lengah-lengah lagi. Marilah menukar budaya membuat haji semasa di usia senja, kepada membuat haji di usia muda. Kesan daripada budaya pergi haji di usia tua itu ialah, ramai yang bersedih apabila menghantar saudaranya menunaikan haji, antaranya kerana merasakan itulah perjalanan terakhir mereka di muka bumi dan bimbang tidak akan berjumpa lagi. Sedangkan kita membuat haji, adalah untuk memenuhi tuntutan Ilahi, bukannya nak pergi mati.
Merancanglah sekarang sementara hayat dikandung badan.

Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al-Quran


alt
Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?
Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.
01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT 
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.
02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]
Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.
03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]
Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. 
Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.
Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.
04.Prihatin sesama kita
"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]
Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.
06.Jujur, amanah
" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?
Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."
07.Tepati waktu
"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.